Powered By Blogger
Islamik Testimonial


Saturday, February 2, 2008

~ PeRHiaSaN DuNiA (TenTang AuRaT) ~

Perjalanan ke Interact Building menuju ke kelas 2c semalam sama seperti perjalanan hari-hari sebelumnya. Melalui jalan yang dipenuhi dengan anjing-anjing liar, melintasi jalan utama yang selalu berdebu dan dilalui lori-lori besar,mengelak najis-najis lembu yang bersepahan di atas jalan, semua itu dah menjadi rutin harianku. Pagi ini tidak terlalu terik. Bunyi hon bersahut-sahutan. Sudah lali di telinga ini. Jalan memang tidak pernah sunyi dengan hon. Sebenarnya, kalau anda berkenderaan di sini, anda WAJIB membunyikan hon. Jika diperhatikan kebanyakan kenderaan besar seperti lori dan bas pasti akan terpampang kenyataan 'Please horn' (Ayat yang telah di'sedap'kan sedikit. Bunyi ayat yang betul lagi kasar). Bunyi hon di sini terlalu kuat dan membingitkan. Kalau di Malaysia, membunyikan hon secara berterusan pasti akan menimbulkan kemarahan orang lain. Macam menunjukkan kemarahan. Di India, pemandu-pemandu di sini pasti akan berbalas-balas untuk membunyikan hon. Sudahlah berterusan, kuat pula tu. Tak kisahlah di Manipal, Delhi atau Bangalore, keadaan yang sama akan berlaku. Masa mula-mula tiba di India memang akan rasa tak biasa. Bingit telinga. Pening kepala juga kadang-kadang.

Eh, melalut pula. Hendak bercerita perkara lain, cerita pasal hon pula yang keluar. Apa yang hendak diceritakan sebenarnya adalah tentang aurat wanita. Persoalan yang selalu menimbulkan spekulasi dan perdebatan. Persoalan yang boleh mengundang kontroversi. Juga persoalan yang tidak akan sudah dibincangkan. Apa yang ingin dikatakan di sini hanyalah sekadar suatu sudut pandangan. Mungkin siapa-siapa yang mengalami akan merasanya.



Insiden pertama:

Semalam, ketika dalam perjalanan ke kelas, aku bertembung dengan rakan sekelasku yang berbangsa Cina. Seorang gadis yang mempunyai lekuk tubuh yang menarik. Dipadankan pula dengan skirt yang agak jarang separas lutut dan blaus berwarna jingga yang mengikut bentuk badannya. Memang cantik. Kami berbalas senyuman sambil meneruskan perjalanan. Aku ingin menyapanya tapi terlihat earphone yang tersangkut di telinganya aku mematikan hasratku. Kami teruskan perjalanan kami walaupun tidak beriringan. Sengaja aku memperlahankan langkahku. Di hadapan, kulihat beberapa pelajar lelaki daripada kolej lain memandang rakanku ini tanpa berkelip. Mereka memandangku juga tapi kembali mengalih pandangan mereka ke arah rakanku ini sekali lagi. Pandangan mata mereka masih tidak lagi lepas. Si gadis tidak perasan dia sedang diperhatikan. Aku tersenyum seketika. Sesetengah orang mungkin berkata, "Dasar lelaki, tak boleh nampak perempuan seksi". Betul, lelaki tidak menjaga pandangan. Mujur sahaja semuanya bukan Islam. Namun di sebalik itu, bukankah perempuan juga patut menjaga dirinya. Pakaian yang mencolok mata sudah tentu akan menarik perhatian lelaki.

Islam telah memberi garis panduan yang sempurna dalam adab-adab berpakaian bagi wanita. Betapa Islam benar-benar memelihara maruah wanita. Lihat sahaja keadaan sekarang. Bukan lelaki sahaja yang ter'seksa' melihat, kami wanita yang menutup aurat dengan sempurna juga berasa malu dengan sesetengah perlakuan kaum sejenis. Adakalanya, yang Melayu dan beragama Islam lebih dahsyat dari teman-teman yang bukan Islam. Berpakaian sopan lagi menutup aurat dapat menyelamatkan wanita daripada fitnah-fitnah yang tidak sepatutnya. Ibarat batu permata yang berkilauan yang dijaga dengan rapi dan dibalut dengan sebaik-baiknya begitulah juga wanita. Bukankah yang tersembunyi lebih indah. Fitrah wanita yang Tuhan ciptakan perlulah dilindungi.


Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. [Al-Ahzab:59]



Insiden kedua:

"Why you always look at me?" seorang rakan sekelas perempuan menujukan pertanyaan itu kepada rakan sekelas lelaki yang bukan beragama Islam. "If you look like that to Damia, you must have been slapped already,"tambah rakanku lagi. Aku terkedu sebentar. Kata-katanya itu ada benarnya. Aku sebenarnya agak tegas lebih-lebih lagi dengan rakan-rakan lelaki. Mungkin ada juga yang beranggapan aku ini garang. Biarlah. Daripada aku melayan usikan dan gurauan yang bukan-bukan lebih baik aku buat kerja lain. Atau berdiam diri. Kalau ramah bukan pada tempatnya boleh menimbulkan penyakit hati pula. Dek sikap yang serius inilah aku jarang diganggu oleh rakan lelaki yang bukan beragama Islam yang seorang ini.

Berhijab bukan sekadar menutup kepala dan tubuh badan sahaja tetapi juga tingkahlaku dan tutur kata perlu dijaga. Apatah lagi bersuara lembut dan manja. Mungkin secara semulajadi ada sesetengah yang memang bersuara lembut. Memang sukar. Bagaimana untuk berbicara? Khuatir boleh menimbulkan perasaan yang bukan-bukan kepada sang ikhwah yang bertanya. Berhijab tapi masih memanja-manjakan suara masih lagi boleh menjadi fitnah bagi wanita. "Apa ni, itu tak boleh buat, ini tak boleh, apa yang boleh?Macam menyekat hak kebebasan pula." Benarkah begitu? Bagi diri sendiri, aku tak pernah berasa begitu. Wanita perlulah menunjukkan sedikit ketegasan agar diri lebih dihormati. Orang lain (terutamanya lelaki) akan takut untuk berkata yang bukan-bukan. Hanya berkomunikasi untuk perkara-perkara yang penting. Bukan kata-kata kosong dan tidak bertujuan.



Insiden ketiga:

"Damia, why are you wearing socks?Why not just put on the sandals only?Why must you wear the socks?"

Aku sekadar tersenyum. Jawabku, "Because in Islam a woman need to cover everything except her hands and face." Rasanya tak perlulah aku memberitahu masih ada kekhilafan sama ada perlu memakai stokin atau tidak.

"Then, why don't you just wear the shoes?"

"Hehe..because I prefer to use sandals. I can move my digits"



Insiden keempat:

"Damia, can I ask you something?"

"Yes,go on."

"Hmmm...why you wearing this?" (merujuk kepada hand socks)

Belum sempat membuka mulut, rakan di sebelahnya berkata (rakan sekelas lelaki yang berbangsa India), "Aiyo Jayanti, it's because she wants to cover her forearms, right Damia?"

"Huhu...yes, you are correct"ujarku pula.

"Not like you, baju penuh lubang-lubang" (merujuk kepada belahan di bahagian belakang salwar kameez yang dipakainya)

Aku tertawa. Kata-katanya ada benarnya.

Lihat sahaja, bagaimana sesetengah teman-teman yang belum mendapat hidayah-Nya mengetahui tentang kepentingan aurat dalam Islam. Malunya kalau yang bukan Islam bertanyakan hal sedemikian tetapi diri sendiri belum menjaga aurat dengan sebaik-baiknya.


Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan (kemaluan) mereka, dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya, dan hendaklah mereka menutup belahan leher baju mereka dengan tudung kepala mereka, dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka... [An-Nur:31]

Malah cara pemakaian tudung juga menyebabkan seseorang wanita itu mendapat layanan yang sedikit berbeza daripada orang-orang di sekelilingnya. Tudung labuh vs tudung selempang. Yan bukan Islam pun tahu, si pemakai tudung labuh ni mesti devoted berbanding si pemakai tudung selempang. Orang lain lebih segan dengan yang bertudung labuh. Terfikir juga,tidak hairankah rakan-rakan bukan Islam melihat pelbagai cara bertudung. Mungkin mereka menganggapnya sebagai fesyen.




4 situasi yang cukup memberikan hikmah betapa pentingnya aurat wanita. Sekalipun nampak kecil, tapi bagi pandanganku banyak memberikan makna. Betapa syariat-Nya bukan bertujuan menyusahkan tetapi menyelamatkan wanita. Tak perlu risau tentang gaya rambut. Tak perlu risau membetul-betulkan baju yang singkat. Islam memudahkan bukan?

No comments: