Saya sangat suka membasuh pakaian sendiri. Bukan menggunakan khidmat mesin basuh tetapi menggunakan TANGAN. Ye, mencuci kain baju secara manual. Pelik? Mungkin ramai yang beranggapan sedemikian jika saya menyatakan. Ada ke lagi orang membasuh baju dengan tangan pada zaman teknologi sebegini? Bukankah lebih senang, mudah dan cepat jika membiarkan saja mesin basuh melakukannya? Tak perlu bersusah payah. Atau boleh sahaja menghantar ke kedai dobi.
Apa yang seronoknya basuh baju secara manual? Macam buang masa je sedangkan ia boleh diselesaikan dalam masa yang singkat. Apa faedah yang saya dapat? Tangan pun boleh kering kalau hari-hari terkena serbuk pencuci. Bak istilah dalam Forensic Medicine, "washerwomen's hand" iaitu istilah yang digunakan untuk menggambarkan keadaan tangan orang yang mati lemas (bleached, wrinkled and soddened). Hmmm...
Membasuh baju tanpa bantuan mesin sebenarnya mendatangkan kepuasan tersendiri. Kita tahu bahagian mana pada pakaian kita terdapat kesan yang perlu disental dengan lebih kuat untuk menanggalkan kotoran. Pakaian tidak rosak dengan cepat dan tahan lebih lama. Kepuasan selepas melihat pakaian yang dijemur selepas dibasuh dapat dirasa. More satisfied!
Satu perkara yang saya sentiasa renungkan semasa membasuh baju.
Alangkah baiknya jika hati manusia ini dapat dibersihkan seperti mudahnya membasuh baju!
Hati yang karat dengan dosa boleh dianalogikan dengan pakaian yang kotor. Apa perasaan kita apabila melihat kesan kotoran pada baju/seluar/kain/tudung? Tentu kita akan cepat-cepat membersihkannya. Apatah lagi kalau terkena kesan kopi/makanan/minyak dan sebagainya yang mungkin agak sedikit sukar untuk dihilangkan (kadang-kadang tak boleh hilang langsung). Kita mahu pakaian kita bersih dan kemas. Dan untuk menghilangkan kesan kotoran degil kita akan gunakan bermacam-macam cara untuk melakukannya. Mungkin menggunakan Clorox, atau menggunakan Daia atau apa-apa cara lain yang dapat difikirkan. Kalau kesan itu tak dapat dihilangkan, alamatnya tension nyaaa!!!
Jadi, mengapa tidak hati dibersihkan sedemikian rupa? Kita sentiasa melakukan dosa-dosa kecil tanpa kita sedari. Hati kita sering terdorong kepada perkara-perkara mazmumah. Mungkin kita bersangka yang bukan-bukan terhadap teman-teman kita. Itu dah menjadi dosa. Kita bersikap tidak jujur dalam urusan seharian. Juga kita berdosa. Kita terlibat dengan perkara-perkara dikira syubhah dalam agama. Bertambah lagi dosa yang tak terlihat. Entiti sebeginilah menyebabkan hati menjadi kotor. Hati yang kotor menjauhkan kita dengan Allah.Kita rasa malas untuk melaksanakan perintah-Nya. Kita sukar menghadirkan rasa khusyuk dalam solat. Kita berdoa sambil lewa. Kita kurang merasa keperluannya kita menjaga diri kita daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang fasiq.
Hati yang selalu mengingati-Nya akan merasakan dirinya kotor. Kotor dengan dosa-dosa yang tak terlihat. Kotor dengan perkara-perkara syubhah yang dilakukan tanpa disedari. Kotor kerana berasa lalai dengan amanah dan tanggungjawab. Orang yang mempunyai sifat sebegini akan sentiasa cuba 'membersihkan' hatinya. Padanya, kehidupan ini hanyalah sebagai jambatan kepada Hari Akhirat. Dia akan berusaha menjaga diri daripada terlontar ke lembah yang boleh merosakkan dirinya.
Bagaimana seharusnya hati 'dibersihkan'? Allah telah menggariskan bermacam-macam panduan untuk manusia menjalani kehidupan di dunia. Makan rezeki dari sumber yang haram/syubhah patut dielakkan sama sekali. Kerana inilah salah satu penyumbang kerosakan hati. Hindari daripada melakukan perkara-perkara yang makruh. Apatah lagi perkara-perkara yang sudah terang lagi bersuluh telah dinyatakan dalam Al-Quran sebagai haram. Hal ini disebabkan akan menyebabkan hati menjadi jauh dari-Nya. Sentiasa berzikir kerana zikir itu pembersih jiwa. Berpuasa sunat dijadikan rutin agar nafsu dapat dikawal denan sebaik-baiknya. Solat-solat sunat seperti solat sunat taubat yang dijadikan sebagai sebahagian daripada amalan dapat 'menyental' kesan-kesan dosa dalam hati. Jangan biarkan diri bergelumang dengan kemungkaran kerana kita tidak mengetahui bila nyawa kita akan diambil. Sentiasalah berharap kepada-Nya agar kita dijauhkan daripada perkara-perkara yang boleh merosakkan hati.
...Basuhlah hati anda dengan rasa keinsafan...
No comments:
Post a Comment