"Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatupun dan Dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran); supaya kamu bersyukur" (An-Nahl:78)
Terkenang kembali saat mula-mula masuk MMMC. Dalam keadaan tak tahu apa-apa tentang Anatomy, Physiology, Biochemistry, Pathology, Microbiology, Pharmacology, lecturer ku mengajar penuh sabar anak-anak didiknya. Sungguh 2 tahun yang bermakna kerana dengan izin-Nya aku memahami tubuh badan manusia, aktiviti-aktiviti yang berlaku dalam badan manusia yang sangat hebat. Sungguh sangat terbukti kekuasaan-Nya dan betapa kerdilnya manusia di sisi Tuhan. Manakan sama proses pengklonan akan menghampiri penciptaan-Nya. Sungguh manusia bergelar doktor tidak sama sekali boleh menyamai Tuhan. Andai berjaya menyelamatkan pesakit bukanlah dengan kepandaian dan kebijaksanaan yang dimiliki tapi atas kehendak-Nya jua. Perjalanan mendalami ilmu perubatan masih panjang. Semakin banyak yang cuba dipelajari semakin banyak perkara yang tidak diketahui. Hendak mengagumi pakar-pakar perubatan kerana ketangkasan mendiagnosa dan merawat? Hebat lagi kepada Maha Pencipta yang menciptakan manusia, mendatangkan penyakit dan memberi ilmu-ilmu kepada pengamal perubatan. Dan kini, 2 langkah yang diperlukan untuk menamatkan pengajian. Cukupkah dengan ilmu yang ada? Masih terasa sangat cetek. Masih lagi tidak layak. Namun, syukur Alhamdulillah jika dibandingkan lebih 3 tahun lalu, sedikit demi sedikit ilmu dikutip dalam melengkapkan diri untuk menjadi doktor. Perjalanan masih lagi panjang lagi-lagi apabila memikirkan hendak menyambung pengajian untuk menjadi pakar. Semakin dikejar arah itu, semakin merasa betapa hinanya manusia. Ilmu yan didapati masih sedikit. Hanya secedok air yang diambil dari lautan. Satu yang kupinta, andai berjaya kelak jangan lupa diri, jangan mendabik dada. Masih banyak ilmu yang belum terungkap. Masih banyak misteri yang belum terungkai. Dalam bidang inilah, rahsia-rahsia manusia terungkai.Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), (1) Dia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; (2) Bacalah dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah; (3) Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan; (4) Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya. (5) (Al-Alaq:1-5)
Tahun-tahun mendatang, saat ini akan dikenang semula. Betapa banyak perkara telah dipelajari. Banyak perkara masih belum difahami. Moga-moga ilmu yang diperoleh kelak menjadi platform untuk mendekati-Nya. Moga setiap perkara baru dikaitkan dengan kehebatan-Nya. Moga perkataan Subhanallah terlancar dari bibir. Hari esok menanti. Penuh dengan cabaran dan dugaan. Diharapkan hari-hari mendatang akan ada agar dapat merenungi kembali saat ini.