Powered By Blogger
Islamik Testimonial


Sunday, April 6, 2008

Europe Trip 2008

Rindu. Jari-jari ini sepurnama lamanya tidak menari-nari memainkan irama di atas keyboard. Niat untuk mengupdate blog sentiasa tertangguh. Ada sahaja halangannya. Sebulan laman ini terbiar sepi. Dek kerana cuti dan kembara ke Eropah sepanjang percutian tidak memungkinkan blog ini 'hidup'. Terasa keghairahan 'menulis' blog semakin menurun. Mungkin sahaja disebabkan bermulanya Blok III tahun kedua yang menuntut perhatian yang lebih. Ditambah pula baki Mentored Student Project yang perlu disiapkan secepat yang mungkin agar tidak menjadi beban di kemudian hari. Lelah. Belum sempat bernafas, minggu ini diasak dengan kelas-kelas yang tak pernah putus-putus. Tiada masa untuk bersukaria. Untuk berkongsi pengalaman perjalanan ke tanah Inggeris bersama-sama teman-teman pun terselit di antara waktu rehat. 'Kembali ke dunia realiti, meninggalkan dunia fantasi' itulah tema yang bermain-main di bibir. Realiti sebagai pelajar perubatan bertemankan kuliah, ulangkaji, nota dan sebagainya. Fantasi berada di bumi Eropah yang perlu ditinggalkan. Bercuti, bercuti juga tetapi jangan sampai lupa diri. Tujuan bercuti pun untuk merehatkan minda agar lebih bersemangat untuk menghadapi Blok III ini. Ingin sahaja melakarkan blog tentang percutian ke Eropah. Tapi rasanya tak perlulah menceritakan ke mana kaki ini berpijak dan tempat yang dilawati secara terperinci, cukuplah dengan gambar-gambar yang telah diupload dalam laman fotopages. Kita berbicara soal kembara dari sudut yang berlainan.


Melihat 'dunia' lain. Ya, berpijak di benua Eropah meninggalkan kesan yang tak mungkin luput di ingatan. Keseronokan yang dirasai tidak sama dengan perasaan yang dialami ketika menjelajah utara India. Tentu sahaja berbeza. Perjalanan bermula dari lapangan kapal terbang di Bangalore, transit di Dubai dan mendarat di Manchester mengambil masa selama 12 jam. Mujur sahaja ada transit. Jika tidak, peluang untuk mengalami venous thrombosis sangat tinggi lantaran kaki tetap dan tidak bergerak-gerak untuk jangka masa yang lama. Manchester. "Itulah port kita" kata temanku yang menguruskan perjalanan kami bertujuh. Kenapa Manchester? Itulah destinasi yang tiketnya boleh didapati dengan murah. Hanya Rs31813 pergi balik. Manchester pun menjadi pilihan kami. Berkampung selama 4 hari di Rusholme berdekatan The Curry Mile benar-benar meninggalkan pengalaman menarik. Mana mungkin lupa saat terindah tatkala menuntut hadiah hari lahir daripada teman-teman seperjalanan di Old Trafford. Hadiah sempena ulangtahun kelahiran ke-22.
dream comes true



32 - pemain kegemaran


pasukan yang menjadi pilihan hati

Langkah semakin panjang. Ke selatan singgah di Nottingham dan dua hari kemudian berada di Liverpool sebelum berangkat ke Paris, Perancis. Berjumpa dengan teman-teman lama di Nottingham mengingatkan semula sedikit sebanyak kenangan di INTEC. Masih seperti dulu. Tidak banyak yang berubah. Mungkin juga cara berfikir dan berinteraksi yang mungkin berbeza jika dibandingkan dua tahun lepas. Paris meninggalkan satu kenangan yang sukar dilupakan. Bagaimana kami berenam tersesat di sebuah stesen kereta api dan mujur seorang wanita Muslim dalam usia pertengahan bersungguh-sungguh mahu membantu kami agar dapat sampai ke destinasi yang sepatutnya. Ibarat ayam bercakap dengan itik, itulah perumpamaan komunikasi kami. Wanita itu tidak tahu berbahasa Inggeris manakala kami tidak mahir bertutur dalam bahasa Perancis. Saling membuat isyarat dengan tangan dan tulisan akhirnya kami sedikit menangkap apa yang cuba disampaikannya. Dia mempelawa kami pergi ke rumahnya tetapi kami terpaksa menolak memandangkan kami perlu berkejar ke hotel untuk check in. Kami berterima kasih atas pertolongannya itu. Allah sahaja dapat membalas jasanya. Terasa ukhuwah Islam yang hangat di bumi Paris. Bila sahaja kami berjalan-jalan kedengaran salam diberikan. Adakalanya kami tidak mengetahui dari mana salam itu kedengaran. Jawab dalam hati je la. Hmm..adakah keadaan yang sama berlaku di Malaysia?TIDAK. Kerana kita lebih senang menggunakan hai berbanding Assalamualaikum. Petang itu, kami menuju ke Eiffel Tower sebagai destinasi pertama kami. Awak tak sempat naik Eiffel Tower la Damia. Kena beratur panjang. Kalau nak naik, kita sepatutnya pergi awal-awal sikit. Sedikit kecewa. Tak mengapalah bukan rezeki nak naik Eiffel Tower memandangkan aku perlu berkejar ke lapangan terbang Orly Sud pada lewat petang. Penerbangan ke Prague tidak harus terlepas!

Bumi Paris ditinggalkan setelah berjaya menjejakkan kaki ke Eiffel Tower. Setelah bergambar lebih kurang kami berpisah. Rakan-rakan yang lain menuju je Patheon dan mereka perlu berhenti di stesen Notre Dame dan aku pula menuju ke stesen Antony. Dipendekkan cerita, aku tiba di lapangan terbang Ruzyne sedikit lewat daripada jadual asal. Gara-gara seorang penumpang yang tiada tempat untuk duduk walaupun memiliki tiket! Disambut oleh teman serumah di INTEC, dan tiba di rumahnya hampir jam 11, aku kelelahan. Tiga hari lepas di Nottingham, dua hari lepas di Liverpool, semalam di Paris dan hari ini di Prague tentu sahaja aku kehabisan tenaga. Lenguh satu badan berjalan tidak berhenti-henti. Padahnya keesokan harinya, hampir separuh hari dihabiskan di atas katil. Mujur juga tidak ke mana-mana pada hari itu.

Menghabiskan beberapa hari berjalan-jalan di sekitar Prague sambil ditemani Mutia sebelum melabuhkan diri ke Hradec Kralove bersama-sama Nabilah Hanis sememangnya menjadi kenangan yang indah. Aah...alangkah rindunya zaman-zaman semasa berada di INTEC. Alhamdulillah misi menjejakkan kaki ke bumi Republik Czech tertunai sudah sejak sekian lama. Ni yang untung kalau datang sorang-sorang, ramai kawan yang boleh belanja makan. Aku tersenyum mendengar kenyataan itu. Apalagi makan aiskrim pada musim sedingin itu!

Tiba saat untuk terbang ke London setelah seminggu berada di bumi Bohemia. Perjalanan selama 2 jam terasa meletihkan. Tambahan lagi, bas yang sepatutnya berhenti di Oxford Street tidak seperti yang difikirkan. Terlajak sehingga ke Victoria Station, teman seperjalanan yang telah berada di London sejak dua hari lepas cepat-cepat dihubungi. Hampir panik dibuatnya. Mujur sahaja dapat berjumpa semula. Malam itu, aku keseorangan di Malaysian Hall memandangkan rakan-rakan lain berpindah ke MARA House.

Menonton Wicked, membeli-belah di Oxford Street, menaiki cruise di sepanjang Sungai Thames sambil menyaksikan keindahan Tower Bridge pada waktu malam yang mengasyikkan, berjalan-jalan di Trafalgar Square....memang memenatkan tetapi kegembiraan yang terselinap menghilangkan rasa penat yang menghurung setiap inci badan.

Destinasi terakhir kami; Ireland. Yang paling ditunggu-tunggu oleh sekian ramai. Berbanding diriku yang menjadikan Republik Czech sebagai destinasi prioriti. Hampir setiap tempat yang dikunjungi, perkara-perkara yang sama sahaja yang dilakukan. Membeli-belah, berjumpa teman-teman lama, makan-makan, bersiar-siar di tempat-tempat menjadi tarikan dan seumpamanya. Ada satu tempat yang dikunjungi yang paling menarik hati. Di mana di situ terdapat Al-Quran manuskrip lama yang menjadi bahan pameran. Masha-Allah...indah sekali. Chester Beatty Library, lebih dari sekadar berfungsi sebagai perpustakaan.

Dan sepanjang perjalanan tersebut terlalu banyak pengalaman yang dikutip. Nilai ukhuwah yang tinggi, elemen kasih sayang dan rasa cukup apa yang ada menjadikan kembara ini bukan bersifat pelancongan semata-mata. Ibrah yang berharga diambil dan dijadikan pegangan. Bumi Allah itu sememangnya luas. Pepatah 'jauh perjalanan luas pemandangan' membenarkan jua. Moga kesempatan akan datang, akan digunakan sebaik-baiknya berjalan-jalan di bumi ciptaan-Nya sambil memikirkan kebesaran dan keagungan ciptaan-Nya.

2 comments:

Anonymous said...

so, ko gi uk, czech ngan paris ar? cool2..ko tgk match x kat old trafford? kalo x tgk, xcool la beb..huahuahua

MIA QISTINA said...

ketiadaan tiket waktu tu
mmg la tak cool tapi takpela
nak buat camne
huhu